Monday, January 29, 2018

Lupa doa sendiri

Ketika berjalan di pasar malam kita terserempak seorang pemungut derma. Terdetik di hati, "tak ada cara lain ke nak cari dana?"

Pernahkah kita bertanya diri, kenapa Allah datangkan pemungut derma itu pada kita? Kita lupa bahawa kita pernah berdoa supaya Allah murahkan rezeki kita dan dapat kita bersedeqah dan menambah kebajikan.

Nampaknya satu lagi doa kita telah dimakbulkan. Lupa ke?😅

Thursday, December 7, 2017

Dia yang memberi

Saya suka dia bukan sebab duit tapi sebab dia bagi saya duit.

Sama atau berbeza? Saya kata, ia berbeza.

Bagi duit pada orang bukan semudah seluk poket dan hulur pada orang.

Pertama, nak dapatkan duit bukan mudah. Kadang² terpaksa berkorban. Pengorbanannya itu yang saya hargai.

Kedua, orang yang diberi biasanya seseorang yang istimewa. Contohnya faktor persaudaraan atau kerana simpati. Perlu ada sebab yang cukup kuat untuk memberikan orang lain wang. Sikap menjaga silaturrohim dan sifat simpati itu yang saya kagumi.

Ketiga, ada pihak lain yang menyuruh. Ertinya beliau seorang yang taat dan patuh pada perintah.

Daripada ketiga² faktor di atas, saya lebih tertarik pada yang ketiga. Kita selalu nampak pada benda atau perkara yang kita terima dan juga pada pengantaranya. Kita selalu lupa pada pemberi sebenar iaitu Allah. Segala²nya daripada Allah jua. Yang lain hanya pengantara.

Cheguman morha.

Tuesday, November 21, 2017

Sempit sikit tapi masih muat

Tak perlu tambah meresahkan, tak perlu makin merisaukan.

Saya sudah lama pencen dari menulis isu politik. Namun saya belum pencen daripada menulis sesuatu yang dapat mengimbangi kecelaruan orang ramai ekoran perbezaan fahaman politik.

Saya sedar duit kita terasa semakin kecil. Rm50 sudah tidak sama macam dulu. Ikan kembung pun hampir rm20 sekilo. Anak² bawa rm3 ke sekolah pun tak berapa cukup.

Dari sudut mana pun, rm50 dulu memang tidak sama dengan rm50 sekarang. Rm50 dulu hanya ada dalam dompet orang kaya manakala rm50 sekarang boleh ditemui di mana².

Yang penting bersyukur, berdoa, bertawakal, dan menjadikan usaha sebagai ibadah tambahan. Saya ulang, usaha sebagai ibadah.

Nak cerita sikit.

Sebelum subuh tadi saya menziarahi 5 orang saudara yang akan mengerjakan umrah.

Seorang pemandu ambulan yang telah bersara bersama isterinya seorang suri rumah yang bekerja sambilan di kantin sekolah rendah agama. Mereka sudah naik haji dan kali ini buat umrah pula.

Seorang lagi pesara amah hospital, umur hampir 80. Tiada pendapatan tambahan, ibu tunggal yang menjaga anak, cucu, dan cicit sendirian berpuluh tahun. Sudah naik haji dan ini kali ketiga ke mekah. Insyaallah.

Oh ya. Beliau juga tak pernah masuk skim cepat kaya.

Seterusnya seorang suri rumah yang suami sudah bersara kerja kilang. Pendapatan hasil jual kuih sekali sekala.

Yang kelima seorang wanita yang masih bekerja di bahagian kebersihan di sebuah hospital.

Kelima² mereka tidaklah miskin tetapi jika anda seorang guru lepasan maktab atau kerani, anda boleh dikira orang kaya dibandingkan mereka.

Masih ingat cerita saya tentang pekerja kebersihan di sekolah saya? Hari ini kami adakan majlis persaraan beliau. Oh ya. Beliau juga sudah buat umrah tahun lepas.

Jangan risau sangat dan jangan tambah kerisauan ummah.

Islam juga bermaksud sejahtera.

Friday, November 10, 2017

Skim cepat kaya sistem dewa²

Kelemahan mlm dan skim cepat kaya ialah ia terlalu baik dan sempurna. Setiap peserta dijanjikan bulan dan bintang sedangkan di bumi, bulan hanya ada satu manakala bintang terlalu jauh.

Hukum ekonomi menyatakan keinginan manusia tidak terbatas manakala sumber² adalah terhad. Di luar kuasa kita,  Allah menjadikan takdir manusia berbeza².

Mari kita lihat hukum rimba.

Meski ayam memakan padi sedikit demi sedikit, namun ular datang menelannya sekaligus. Helang pula datang memakan ular dan apabila helang mati, ulat meleraikannya sehingga menjadi tulang.

Strata ini berlangsung tanpa dapat diubah. Ia dipanggil rantai makanan dan jika kita masukkan manusia ke dalamnya, memang kejam dan mengerikan.

Dalam mana² sistem manusia samada sosial, politik, mahupun ekonomi tidak akan lari dari bentuk piramid. Bahagian bawah adalah paling besar manakala di atasnya hanya ada seorang raja yang tidak boleh dipertandingkan.

Malangnya kita hari ini amat menyanjung sistem demokrasi yang mendakwa kononnya semua manusia mempunyai peluang yang sama.

Piramid adalah sistem asas yang perlu diinsafi dan manusia perlu redho dengannya.

Jika manusia sudah ditentukan sistem piramidnya maka yang perlu kita faham ialah fungsi masing².

Di baris paling bawah dihuni kelompok paling ramai. Dalam struktur politik ia dipanggil rakyat manakala dalam pasaran mereka dinamakan pengguna.

Pengguna selama²nya adalah pengguna. Maka sebarang usaha untuk menjadikan pengguna sebagai 'towkey' adalah perbuatan sia² dan akan berakhir dengan kekecewaan.

Dalam teori memang boleh. Maksud saya,  teori yang tak berpijak di bumi nyata.

Bayangkan apabila kelompok paling ramai ini menjadi kecewa. Maknanya manusia kecewa lebih ramai daripada yang berjaya.

Sebelum itu, kita perlu faham definisi kecewa.

Thursday, November 9, 2017

KPI untuk diri sendiri

Rasanya semua sudah tau apa itu KPI iaitu akronim untuk indikator bagi menyukat pencapaian.

Cuma ramai yang keliru untuk siapa kpi ini dibuat? Adakah untuk penerima perkhidmatan atau untuk penyedia perkhidmatan?

Akibat kekeliruan tersebut ramai yang melantik diri sendiri menjadi penilai pada orang lain, termasuklah menilai prestasi pasangannya.

Padahal kpi adalah untuk muhasabah diri samada kita telah memberikan perkhidmatan terbaik pada orang lain.

Kpi bukan untuk menerima sesuatu sebaliknya untuk memberi sesuatu. Yakni, adakah kita telah memberikan perkhidmatan terbaik?

Dalam konteks yang paling dekat ialah apakah suami telah menyediakan yang terbaik untuk isteri, begitu juga sebaliknya.

Setiap orang ada kpi masing² dan ini yang dimaksudkan dengan 'hablumminannas' (hubungan sesama manusia) dan 'hablumminallah' (hubungan dengan pencipta).

Apakah kpi kita pada jiran tetangga? Kalau dulu sumbangan kita hanya pada yang sebangsa dan seagama,  apakata kita luaskan sikit pada semua jiran kita dan rakyat Malaysia?

Cheguman, MORHA

Wednesday, November 8, 2017

Selesai masalah lama buat masalah baru

Masa sekolah dulu,  mak kita bekalkan saputangan ke sekolah. Lipat dalam poket dan gunakan bila perlu.

Makan nasi di rumah orang pun disediakan saputangan. Begitu juga di rumah kenduri.

Yang romantisnya, apabila kekasih menangis juga dihulurkan saputangan buat mengelap si air mata.

Tiba² teknologi membawa satu dimensi baru iaitu tisu. Serta merta saputangan dianggap tidak relevan lagi.

Sebagaimana teknologi lain, tisu bukan sahaja membawa manafaat bahkan turut membawa masalah baru bersamanya. Orang kata, datang dengan pakej.

Jika saputangan berharga rm1 sehelai boleh diguna berbulan² maka tisu rm1 terpaksa dibeli berulangkali.

Selain tisu, tekonologi juga mengundang pelbagai perkakas baru seperti lampin bayi, pinggan kertas dsbnya berkonsep pakai buang. Maka perbelanjaan pun bertambah.

oh ya. Kalau dulu bawa bekal air masak dalam botol, sekarang beli air mineral yang lebih mahal dari petrol. Botolnya terus dibuang, kadang² dengan baki yang masih ada separuh.

Manusia menangis lagi.

Cheguman,  morha

Tuesday, November 7, 2017

Tadika murah tadika mahal

Ijazah pertama saya dan isteri ialah pendidikan prasekolah. Maknanya,  kalau nak buat bisnes lain kami boleh buka sekolah tadika.

Ramai tak perasan, bisnes untuk prasekolah lebih luas pasarannya berbanding buka universiti. Sebabnya, hampir semua anak manusia akan masuk tadika manakala hanya segelintir yang masuk universiti.

Teori saya, jika buka tadika untuk orang kaya, sasaran tak ramai tapi boleh caj mahal². Mereka tak kesah dengan bayaran asalkan kualiti kemudahan yang disediakan tip top. Ada duit, apa ada masalah. Kan?

Sebaliknya jika buka tadika yang yurannya di bawah rm200 pelanggan yang datang ialah golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Kesannya,  pihak pengurusan akan menghadapi banyak masalah berkaitan wang. Ada yang bayar lewat dan akan komplen apabila ada bayaran tambahan.

Sebab itu ramai pengusaha produk enggan mensasarkan produk mereka pada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Caranya mudah, iaitu letakkan harga mahal pada produk. Dengan itu hanya orang yang berpendapatan tinggi sahaja mampu beli. Buat iklan di saluran yang audiensnya orang banyak duit.

Jual sikit tapi untungnya banyak.

Malah dengan menetapkan harga yang mahal orang ramai akan menganggap produk tersebut sangat berkualiti. Dengan itu mereka sanggup ketepikan sebahagian dari budget keluarga untuk beli produk tersebut.

Saya sedar teori dan persepsi ini sebelum saya meneruskan usaha keluarga mengeluar dan memasarkan minyak morha. Saya pernah buat master dalam bisnes administrasi (mba di utem), sempat 3 daripada 6 semestar kemudian berhenti bagi memberi lebih tumpuan pada pemasaran minyak morha.

Alaa.. Kalau bill gates tak habis buat degree apa salahnya saya tak tamat master?  😅

Namun saya tetap memilih sasaran pasaran pada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

*Kenapa bayar lebih untuk kualiti yang sama?* Biasa dengar kata² tu, kan?

Kita boleh lihat ada produk dijual pada harga rm50 (50ml) sedangkan minyak morha dijual rm28 (60ml) dengan menawarkan kegunaan dan khasiat yang sama. Bahkan ramai yang kata minyak morha lebih baik.

Malah minyak morha 15ml cuma berharga rm10 sebotol. Kami juga keluarkan pek 10ml dan beri percuma kepada yang nak cuba dan kepada golongan tak berkemampuan.

Oh ya. Kalau minyak morha tidak berkesan manakan mampu bertahan lebih 40 tahun di pasaran dengan rekod jualan ulangan yang cukup tinggi? Semuanya dengan izin Allah).

Kami kekalkan kualiti sama seperti produk lain namun dalam masa yang sama kami berusaha mengekalkan harga paling munasabah untuk golongan sasaran supaya semua orang dapat gunakan dengan senang hati.

Saya gembira apabila orang sapu minyak morha di jari, terus melekat di hati.

Cheguman, morha