"Kamu tidak akan pernah terlalu tua untuk merancang target lain atau untuk memimpikan cita-cita baru.”
- CS Lewis (1898–1964), pengajar dan novelis.
Ketika MLM sedang nazak, rakyat Malaysia yang baru mengenali internet dihadapkan dengan sistem ala MLM berasaskan internet pula. Ia menggunakan platform web seratus peratus.
Ternyata sistem ini lebih hebat berbanding MLM. Memanglah, kalau yang baru tidak lebih baik daripada yang lama maka tidak perlulah ia direka.
Sistem affiliate bermula dengan produk ebook iaitu apabila anda membeli sebuah ebook anda boleh menjualnya semula kepada orang lain dan mendapat keuntungan.
Ia memang idea yang hebat namun masalah mula timbul apabila bukan sahaja ebook yang dijual bahkan skrip affiliate turut dilelong semurah-murahnya.
Bayangkan bagaimana jika semua orang mempunyai kedai sendiri dan menjual produk yang hampir sama.
Sebenarnya idea menjual ebook bukanlah idea yang praktikal sebab ebook boleh disalin dan disebar sebanyak-banyaknya secara percuma.
Para penulis ebook berbeza dengan penulis buku. Mereka tidak mengharapkan keuntungan semerta sebaliknya mereka menulis untuk tujuan populariti.
Ebook dianggap hebat berdasarkan berapa banyak fail berkenaan dimuat-turun oleh pengguna. Ini akan melonjakkan nama penulis berkenaan sebaris dengan para penulis terkenal. Apabila sudah terkenal barulah penulis mengira untung.
Saya berani berkata bahawa 99.9% daripada pengendali sistem affiliate tidak berdaftar dengan mana-mana kementerian apatah lagi memiliki lesen AJL.
Akibatnya orang ramai kecewa apabila bonus yang dijanjikan tidak dibayar malah akhirnya diketahui hampir semua syarikat pengendali affiliate sebenarnya 'tidak wujud' di alam nyata.
Manakan tidak, dengan modal RM50 sesiapa sahaja boleh menjalankan program affiliate sendiri dan berlakon seolah-olah syarikat global yang memiliki aset berjuta.
Bagi yang melalui zaman itu barangkali pernah terserempak dengan web-web affiliate yang mendakwa peserta affiliate menikmati pendapatan ribuan ringgit setiap hari!
Sekitar 1997 hingga awal 2000 pengguna internet seolah menganggap dosa dan pahala tidak berlaku di alam maya. Internet menjadi lubuk penipuan tanpa sebarang kawalan. Hak dan maruah orang lain dianggap tiada nilai.
Keadaan tersebut berlangsung beberapa tahun hinggalah pengguna internet merasai sendiri pengalaman ditipu berulangkali dan akhirnya barulah mereka sedar bahawa internet tidak boleh dipercayai.
Hilangnya kepercayaan masyarakat terhadap internet sekaligus membunuh program affiliate yang sememangnya penuh dengan penipuan.
No comments:
Post a Comment